Muhammad Azam maut dihempap pokok kelapa sawit reput semasa menggali parit di Kampung Parit Wak Katek Sanglang, Pontian, hari ini.

 

 

PONTIAN – Seorang remaja maut dihempap pokok kelapa sawit reput semasa menggali parit di kawasan tali air di Kampung Parit Wak Katek Sanglang dekat sini hari ini.

Nazihah Mahtar, 43, ibu kepada Muhammad Azam Asmawei,15, berkata, kejadian menimpa anak bongsunya itu berlaku pukul 11.50 pagi semasa mangsa bersama-sama rakannya, Muhammad Hairey Rosli, 18.

“Sebelum itu selepas solat Subuh dia bersiap elok sangat, pakai baju cantik-cantik, wangi betul. Padahal dia cuma hendak ikut rakannya kerja menggali parit.

“Dari pukul 6.30 pagi lagi dia dah tunggu kawannya datang ambil naik motor. Saya sempat tegur bau wangi dia,” katanya sayu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian di sini hari ini.

Menurut Nazihah, mereka sekeluarga baru sahaja berpindah ke kampung tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri lalu dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, kehilangan Muhammad Azam amat dirasai kerana anak bongsu daripada tiga beradik itu sangat ringan tulang membantu keluarga terutama ayahnya bekerja di bengkel cat kereta di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi.

Sementara itu, Muhammad Hairey berkata, mereka sangat rapat dan sudah menganggap Azam seperti adik sendiri.

Sebelum kejadian dia meminta Azam supaya berhati-hati kerana menyedari keadaan pokok kelapa sawit di kawasan kebun sudah kelihatan reput.

“Ini kali kedua dia datang menolong, Jumaat lepas dia ikut sama gali parit menggunakan jentera pengorek.

“Tengah hari tadi Azam beritahu dia hendak duduk berehat atas jambatan. Tidak disangka tiba-tiba pokok kelapa sawit tumbang dan terus hempap dia.

“Saya terus menjerit minta tolong dan lari panggil orang kampung. Masa tu keadaan Azam sudah berlumuran darah,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bunian pada malam ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dihempap sebatang pokok kelapa sawit ketika berada di lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Benut.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast