Dua daripada tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki.

KULAI – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dengan menggunakan getah paip di sini bulan lalu.

Tertuduh, Sham Chee Fei, 33; Tommy Voo Tze Hau, 27, dan M Nageswaran, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh warga tempatan bersama dengan yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 26 tahun dengan menggunakan getah paip sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 malam pada 22 Mei hingga pukul 6 pagi pada 23 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra.

Bagi pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya manakala Chee Fei dan Tze Hau diwakili peguam Gary Ng Boon Hui dan Nageswaran diwakili Lim Seay Sean.

Pihak pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan.

Boon Hui memohon jaminan yang minima bagi anak guamnya yang bekerja sebagai ejen hartanah dan pekerja agensi pelancongan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung ibu bapa yang uzur.

Sementara itu, Seay Sean memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya kini menganggur dan tidak mempunyai pekerjaan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Di mahkamah yang sama, Chee Fei turut berdepan tiga pertuduhan memiliki satu kad pengenalan seorang lelaki berusia 32 tahun dan dua pasport antarabangsa milik individu lain tanpa kuasa yang sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.45 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Senai pada 20 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(0) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan turut dilakukan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) akta yang sama yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh berkenaan tidak mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di mahkamah yang sama.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 secara keseluruhan dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast