KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,610.55 tan metrik ikan yu direkodkan mendarat di perairan Malaysia sepanjang tahun 2024 dan Sarawak mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,208.90 tan metrik, diikuti oleh beberapa negeri lain yang turut menyumbang kepada jumlah keseluruhan tersebut.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata negeri-negeri lain yang turut merekodkan jumlah pendaratan yang signifikan termasuk Perak (994.04 tan metrik), Kelantan (783.99 tan metrik) dan Sabah (545.77 tan metrik).
Selain itu, Pahang (471.35 tan metrik), diikuti oleh Selangor (204.11 tan metrik), Labuan (152.41 tan metrik) dan Terengganu (129.35 tan metrik).
Dalam pada itu, Negeri Sembilan tidak mencatat sebarang pendaratan, manakala Perlis dan Kedah masing-masing merekodkan 0.2 tan metrik dan 1.6 tan metrik.
Menurut beliau, statistik yang direkodkan menggambarkan keperluan untuk memperkukuh pemantauan dan pengurusan sumber perikanan secara bersepadu, khususnya dalammemastikan kelangsungan spesies marin yang semakin terancam.
Sehubungan itu, bersempena sambutan Hari Kesedaran Ikan Yu Sedunia yang disambut pada 14 Julai lalu, Jabatan Perikanan Malaysia menegaskan komitmennya dalam melindungi spesies ikan yu sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan biodiversiti marin negara.
Sebagai langkah pengurusan sumber secara mampan, lima spesies ikan yu telah diwartakan sebagai spesies yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 [Pindaan 2019].
“Sebarang aktiviti penangkapan, pemilikan, penjualan atau pengeksportan spesies ini adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakanundang-undang. Species yang disenaraikan ialah Sphyrna mokarran (Yu Tukul Parang), Sphyrna zygaena (Yu Tukul Rata), Eusphyra blochii (Yu Tukul Parang – varian), Carcharhinus longimanus (Yu Sirip Putih Besar), dan Rhincodon typus (Yu Paus),” katanya.
Tambah beliau, spesies-spesies tersebut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin kerana sifatnya sebagai pemangsa puncak dalam rantaian ekologi.
Menurutnya, kehilangan spesies ini bukan sahaja mengganggu kestabilan biodiversiti tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sumber perikanan negara.
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak termasuk nelayan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyokong usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette
















