KUALA LUMPUR – Penyanyi Bella Astillah menyifatkan peluang untuk membuat persembahan bersama isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dalam konsert Nota Percaya pada 23 Ogos depan sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, jemputan tersebut diterima bulan lalu melalui ibunya yang menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur.
“Masih rasa seperti mimpi jadi realiti. Bulan lalu ibu saya terima panggilan jemputan untuk saya membuat persembahan bersama Tun Siti Hasmah.
“Pada mulanya saya tidak percaya sehinggalah melihat sendiri mesej tersebut dan bercakap dengan individu yang terlibat. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram, semalam.
Lebih istimewa, Bella turut diberi peluang untuk berlatih dan bermain alat muzik bersama Tun Siti Hasmah semalam.
Berkongsi pengalamannya, Bella meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian Tun Siti Hasmah dan suami beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai luar biasa dan sangat merendah diri.
“Hari ini saya bertemu dengan Tun Siti Hasmah, berkongsi pelbagai cerita dan gelak tawa. Tun M dan Tun Siti Hasmah sangat baik kerana menjemput saya makan tengah hari walaupun mereka sudah lambat untuk ke kelas.
“Tadi saya menangis sekejap. Mereka terlalu baik, manis dan ikhlas. Masya-Allah. Semoga Allah SWT terus kurniakan kesihatan yang baik buat mereka berdua. Dua permata kesayangan Malaysia,” katanya.
Menerusi video yang dimuat naik, Tun Siti Hasmah dilihat bermain biola sementara Bella pula memetik gitar ketika sesi latihan tersebut.
Konsert Nota Percaya dijadual berlangsung pada 23 Ogos ini di Andaman Grand Ballroom, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette.
















