SHAH ALAM – Pasangan suami isteri pengasas program eHATI bersama anak perempuan mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motiviasi yang dipercayai songsang dan terpesong.
Turut direman sehingga 18 Julai ini adalah tiga individu melibatkan dua peserta program itu dan suami kepada peserta terlibat.
Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 47 tahun.
Kesemua suspek membabitkan empat wanita dan dua lelaki direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Sementara itu, peguam mewakili empat suspek termasuk pengasas eHATI, Datuk M Reza Hassan berkata, pihaknya akan menfailkan pemrohonan mengkaji semula keputusan reman tiga hari yang dikeluarkan majistret.
“Salah seorang daripada anak guam saya sakit (bertongkat) serta telah mengemukan laporan perubatan hospital bersekali jelaskan sakitnya.
“Dia sepatutnya hari ini perlu menjalani rawatan di salah sebuah hospital kerajaan kerana itu alasan yang kukuh namun mahkamah tidak menerimanya.
“Bagaimanapun, kita menghormati keputusan mahkamah itu,” katanya kepada media selepas selesai prosiding hari ini.

Beliau turut memaklumkan, tiga anak guamnya merupakan pasangan suami isteri pengasas eHATI dan anak perempuan mereka ditahan selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan itu termasuk beberapa individu lain untuk mengambil beberapa tindakan serta membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor pada September lalu.
Mohd Iqbal dilaporkan berkata, semakan mendapati laporan itu dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil. – MalaysiaGazette
















