PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penganjur perhimpunan aman tidak perlu mengemukakan notis awal kepada pihak polis dilihat menyukarkan sedikit tugas kawalan dan pemantauan keselamatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tanpa pemakluman itu menyebabkan pasukan keselamatan tersebut tidak dapat membuat persediaan awal termasuk mengenal pasti jumlah peserta.
“Kalau penganjur (sebelum ini) diisyaratkan untuk memberitahu kepada polis, kita tahu lokasi berkumpul dan anggaran kekuatan peserta. Maka kita boleh kerah jumlah anggota yang munasabah, bukan untuk menyekat, tetapi untuk membantu dan memudahkan perhimpunan.
“Tapi sekarang, apabila penganjur tidak lagi perlu maklumkan, polis terpaksa gunakan segala sumber yang ada untuk membuat unjuran dan persediaan sewajarnya. Apakah ia menyulitkan? Ia sedikit menyulitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Tahun 2025.
Namun Saifuddin berkata, keputusan tersebut perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.
“Kalau keputusan itu telah dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan, maka kita akur dan ikut,” katanya lagi.
Bagaimanapun Saifuddin mengingatkan pihak penganjur dan peserta perhimpunan aman perlu mematuhi peraturan yang masih terpakai terutama larangan menyentuh ucapan sensitif dan tidak boleh membawa kanak-kanak.
“Kalau bawa juga, polis terpaksa ambil tindakan. Kalau ambil tindakan tidak boleh kata polis tidak hormati kebebasan.
“Saya ambil peluang ingatkan, kalau mereka nak berhimpun, itu pilihan demokrasi. Sebab kerajaan ini tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyat,” jelasnya yang mengulas penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Pas dilaporkan mensasarkan kehadiran lebih 50,000 peserta pada himpunan tersebut.-MalaysiaGazette
















