Keluarga mendiang Beng Hock pada sidang media malam ini.

KUALA LUMPUR – “Keluarga menolak tawaran itu, dan mendesak pegawai SPRM terbabit didakwa di mahkamah.”

Itu tegas adik mendiang Teoh Beng Hock mewakili keluarganya yang menolak permohonan maaf dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung insiden 16 tahun lalu.

Teoh Lee Lan, 45, menganggap permohonan maaf itu tidak menggambarkan keikhlasan.

Malah hasrat SPRM untuk memberikan sumbangan ihsan khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan adalah tindakan memalukan keluarganya, katanya.

“Keluarga menolak tawaran itu dan mendesak pegawai SPRM terbabit didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Lee Lan berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Azam yang memohon maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi antirasuah itu pada 2009.

Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, yang juga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Azam dilaporkan berkata, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi, Ng Yap Hwa menyifatkan permohonan maaf terbabit tidak ikhlas dan tanpa sebarang penyesalan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan sumbangan ihsan ditawarkan SPRM, sebaliknya mahu individu bertanggungjawab atas kematian demi menegakkan keadilan buat keluarganya.

Peguam keluarga mendiang, Chew Pong Him pula menggesa supaya lima pegawai SPRM terbabit dikenakan tindakan mengikut undang-undang secara adil.

Tegasnya, tiada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock sejak 16 tahun lalu.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.

Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.

Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Siasatan semula kes berkenaan dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast