Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

ALOR GAJAH – Suspek utama kematian kejam bayi perempuan berusia 15 bulan, minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Jumaat ini atas pertuduhan membunuh bayi itu yang juga anak kekasihnya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 20 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala kekasihnya, 24 tahun yang juga ibu kandung bayi terbabit dijadikan saksi pendakwaan.

“Polis sudah mendapat kebenaran daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk menuduh kekasih wanita itu bawah kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ibu kandung bayi perempuan itu pula dijadikan saksi pendakwaan dan pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Alor Gajah, Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

MalaysiaGazette pada 7 Julai lalu melaporkan, seorang wanita dan kekasihnya yang disyaki membunuh bayinya berusia 15 bulan dengan cara mendera mangsa pada malam hari sebelumnya direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah

Bayi wanita itu dengan bekas suaminya dipercayai dibunuh dengan kesan kecederaan di lubang dubur di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini.

Kejadian terbongkar kira-kira 11 malam 6 Julai lalu selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar pasangan itu.

Hasil pemeriksaan doktor turut mendapati kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan di lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis sehingga kedua-dua suspek diberkas.

Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki yang bekerja di kedai pancing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi manakala kekasihnya yang menganggur tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast