Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Afghanistan MyCARE-Econsave 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur, semalam.

JOHOR BAHRU – Malaysia menyalurkan sumbangan lebih RM1 juta untuk bantuan dalam pelbagai bidang menerusi Misi Kemanusiaan Afghanistan 2025 selama 10 hari bermula semalam.

Misi berkenaan dijayakan pihak Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd.

Dana tersebut adalah sumbangan rakyat Malaysia yang dikutip melalui tabung bantuan disediakan di lebih 104 Pasaraya Econsave seluruh negara.

Penasihat MyCare Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, misi itu dilaksanakan dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Afghanistan, iaitu Human Assistance Society (HAS).

“Misi bantuan kemanusiaan ini memfokuskan beberapa kawasan di sekitar Kabul, ibu negara Afghanistan, Herat iaitu bandar sempadan Afghanistan-Iran dan beberapa kawasan lain.

“Afghanistan kini dikuasai pejuang Taliban selepas beberapa dekad diceroboh beberapa kuasa besar dunia. Bantuan lebih RM1 juta akan disalurkan kepada pelbagai kategori penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Afghanistan MyCARE-Econsave 2025 diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur semalam.

Mohd Zin berkata, MyCare menjadikan pemulihan sektor pendidikan sebagai sasaran utama misi tersebut termasuk melibatkan pembinaan sekolah.

“Beberapa bantuan kemanusiaan lain akan turut disampaikan termasuk projek pemerkasaan ekonomi rakyat Afghanistan melalui pemberian bantuan peralatan dan kewangan bagi memulakan aktiviti yang menjana pendapatan tetap,” katanya.

Selain sektor pendidikan, pihaknya akan mengagihkan bantuan kecemasan seperti pek makanan keluarga, makanan panas dan wang tunai kepada penduduk Afghanistan yang menghadapi pelbagai kesulitan akibat peperangan yang berlarutan sekian lama.

“Selain itu, bantuan kecemasan kepada pelarian-pelarian Afghanistan yang berada di sempadan Iran-Afghanistan, bantuan perubatan dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Johor, Mas Imran Adam berkata, sekolah untuk anak-anak Afghanistan yang dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran itu akan dibina membabitkan kos keseluruhan kos pembinaan lebih RM500,000.

“Peletakan batu asas projek pembinaan sekolah untuk anak Afghanistan itu akan disempurnakan pada misi kali ini di satu kawasan yang sudah dikenal pasti di Kabul sebelum kerja pembinaan bermula dan disiapkan,” katanya.

Beliau merayu rakyat Malaysia terus menghulurkan sumbangan melalui tabung bantuan yang ditempatkan di semua premis Econsave di seluruh negara bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Afghanistan .- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast