KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjangkakan tidak mustahil sasaran Pas yang mana 300,000 orang akan menyertai himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini dapat dicapai.
Ini memandangkan, kata beliau, demontrasi diibaratkan seperti `candu’ kepada ahli-ahli dan penyokong Pas.
Apatah lagi, ujarnya, ahli-ahli Pas juga begitu fanatik dan taksub kepada arahan parti, maka sasaran 300,000 peserta himpunan Turun Anwar berkenaan diibaratkan seperti `kacang’ kepada Pas.
Bagaimanapun, tambahnya, meskipun Pas berjaya mengumpul jumlah peserta itu, namun objektif himpunan tersebut tidak akan tercapai.
Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih berkesan sekiranya bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli serta lapan Ahli Parlimen PKR lain menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Impaknya lebih besar jika mereka bawa usul undi (tidak) percaya di parlimen berbanding demonstrasi 300 ribu orang ahli PAS,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Puad, Pas sendiri pastinya tidak berani membawa usul undi percaya atau tidak percaya kepada Anwar di Parlimen.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO pastinya tidak akan menyokong usul itu memandangkan parti tersebut komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi rakyat dan kestabilan negara.
“Justeru demonstrasi “Turun Anwar” 26 Julai ini hanya tunjuk kekuatan PAS. Impaknya kecil apatah lagi jika tiada penyertaan “civil society” yang menyeluruh,” katanya.
Pas sebelum ini merancang mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang akan diadakan di ibu negara, 26 Julai ini dengan sasaran penyertaan seramai 300,000 orang dari seluruh negara.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan itu sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Anwar. – MalaysiaGazette
















