Norzilah berharap Tengku Nizaruddin yang dikhiatiri lemas ditemui dalam keadaan hidup atau jasadnya ditemui

MUAR – Keluarga Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau lebih dikenali Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang ke Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu masih menaruh harapan untuk menerima khabar gembira.

Sepupu mangsa, Norzilah Yunos, 40, berharap Tengku Nizaruddin, 38,  yang dikenali sebagai pempengaruh permotoran dapat ditemui dalam keadaan apa juga sekali pun.

Seluruh ahli keluarga berdoa agar segala urusan pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat dipermudahkan untuk menemui Tengku Nizaruddin.

“Harapan kami, kalau dia dijumpai, biarlah dalam keadaan masih hidup. Tapi andai kata dia sudah tiada, cukuplah sekadar jasadnya ditemui.

“Kami masih berharap ada khabar baik. Mungkin bukan kes lemas. Namun apa pun keadaannya, kami hanya mahu kepastian dan kejelasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong, Pagoh di sini semalam.

Menurut Norzilah, dia menerima perkhabaran mengenai sepupunya pada Isnin lalu sebelum mengambil keputusan untuk datang ke Bukit Kepong dari Melaka.

“Sejak hari pertama kehilangan mangsa disedari, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk ikhtiar bacaan yasin dan rakan-rakan Ija turun mencari di sekitar lokasi.

“Ija seorang yang baik, ramai yang kenal dan mengharapkan agar dia ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut agar menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang boleh mengguris hati keluarga.

“Kami minta orang ramai doakan yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Pada Selasa, portal ini melaporkan Ija hilang selepas kereta jenis Perodua Axia warna putih dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam kenderaannya itu dan operasi mencarinya masih diteruskan sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast