GEORGE TOWN – Kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kini dimulakan secara rasmi susulan penerimaan Notis Mula Kerja (Notice to Proceed – NTP) oleh kontraktor utama, SRS Consortium Sdn. Bhd. daripada MRT Corporation (MRTC) pada 15 Julai lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, notis itu menandakan permulaan fasa pembinaan merangkumi pemindahan utiliti, pelebaran jalan, kerja cerucuk serta penyediaan tapak bina di sepanjang jajaran yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas notis rasmi ini dan menaruh harapan agar projek ini dapat dilaksanakan lancar mengikut jadual.
“Keputusan tender bagi pakej CMC2 melibatkan jajaran Macallum ke Penang Sentral serta pakej sistem rel kini sedang ditunggu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Kon Yeow, antara perkembangan penting projek tahun ini termasuk Majlis Pecah Tanah di tapak Stesen Bandar Sri Pinang pada awal tahun serta pelantikan SRS sebagai kontraktor turnkey bagi pakej CMC1.
“Satu platform komunikasi strategik dan talian maklum balas projek-projek mega juga akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi memudahkan akses orang ramai terhadap maklumat serta sebarang pertanyaan.
“Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang untuk memberi kerjasama demi kelancaran projek yang dijangka siap pada tahun 2031,” katanya. – MalaysiaGazette
















