KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah menyeru semua pihak supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.
Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 yang bersidang semalam.
“Alhamdullilah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
Titah Sultan Sharafuddin, dalam proses rundingan tersebut, baginda telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.
“Dalam hal ini, Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.
“Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















