KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkongsi pandangan berhubung sifat amanah dalam kepimpinan yang disifatkan perkara besar dalam Islam.
Menurut beliau, amanah kepimpinan bukan medan untuk mencari pengaruh atau kemegahan, sebaliknya merupakan tanggungjawab berat yang hanya layak dipikul oleh individu berilmu, berintegriti dan benar-benar takut kepada Allah SWT.
Katanya, apabila kuasa diserahkan kepada individu yang tidak layak, kerosakan pasti berlaku yang mana prinsip agama diabaikan, janji dikhianati dan rakyat menjadi mangsa.
Ujar beliau, kepimpinan pula akan bertukar menjadi alat untuk meraih kepentingan peribadi dan mempertahankan kedudukan, bukan lagi sebagai wadah untuk membela agama dan umat.
“Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang Hari Kiamat.
“Namun Baginda tidak terus menjawab. Baginda meneruskan majlis seperti biasa.
“Pada akhir pertemuan, barulah Baginda bersabda bahawa Hari Kiamat akan berlaku apabila amanah telah disia-siakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Tambah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Islam menuntut umatnya memilih pemimpin berdasarkan kelayakan dan ketakwaan.
Jelasnya, ia bukan sekadar soal simpati atau retorik, tetapi penilaian terhadap prinsip, perjuangan dan kejujuran seseorang.
“Kepimpinan ialah amanah yang akan dipersoalkan. Umat yang celik akan kembali meletakkan syarat iman dan integriti dalam membuat pilihan.
“Inilah asas penting bagi menyelamatkan masa depan umat, agama dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette















