Fatin Nurul Hanis perlukan sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan implan koklea pada 7 Ogos depan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang budak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan implan koklea.

Pembedahan itu penting bagi Fatin Nurul Hanis Hafizam  kerana ia memberi peluang dan harapan kepada anak bongsu daripada dua beradik itu untuk keluar dari ‘dunia sepi’ tanpa suara.

Ibunya, Azreen Abd Rahim, 41, berkata, Fatin Nurul Hanis telah memakai alat bantuan pendengaran sejak berusia setahun setengah, namun tidak banyak membantu pendengaran dan perkembangan pertuturannya.

Katanya, doktor mencadangkan untuk anaknya itu menjalani pembedahan implan koklea di telinga kanan dengan segera bagi mengelakkan perkembangannya terjejas.

“Pembedahan itu akan membantu anak saya untuk mendengar yang sekaligus membantu dia belajar dan boleh bercakap kerana dia kini berada pada peringkat kritikal untuk pembelajaran bahasa.

Azreen (dua dari kiri) meminta bantuan One Hope untuk mengumpulkan dana bagi pembedahan anak bongsunya.


“Jika pembedahan itu dilakukan segera dan disusuli dengan latihan pertuturan, dia mempunyai harapan untuk mula berkomunikasi dengan orang lain serta mengikuti pembelajaran secara normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Tambah Azreen, dia yang bekerja sebagai guru, bagaimanapun berdepan masalah kewangan untuk menampung kos pembedahan sebanyak RM70,000, apatah lagi baru kematian suami, Hafizam Mat Ayub di usia 48 tahun pada Mac lalu akibat komplikasi radang paru-paru.

“Saya kini tinggal di rumah ibu dan ayah yang telah berusia. Selain membesarkan dua anak termasuk sulung yang berusia 15 tahun, saya turut membantu perbelanjaan kedua orang tua,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi badan amal di sini, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pembedahan bagi kanak-kanak yang menetap di Putrajaya itu telah dijadual pada 7 Ogos depan.

“Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun : 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.

“Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192,” katanya di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast