Penduduk melakukan bantahan aman di hadapan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka.

MELAKA – Kira-kira 5,000 penduduk di empat buah taman perumahan sekitar Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang kecewa dengan langkah kerajaan untuk membinaa sel baharu di tapak pelupusan sampah itu.

Penduduk mendakwa, tindakan itu hanya akan menambahkan lagi pencemaran bau busuk di kawasan sekitar akibat daripada sampah di pusat pelupusan itu sejak 2015 selain menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indah, Raja Azhar Raja Majid berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menghantar surat bantahan kepada pihak berkuasa namun ianya ibarat melepaskan batok ditangga.

Raja Azhar Raja Majid

“Permintaan kami adalah supaya tapak sanitari ini ditutup tapi sebaliknya kerajaan memilih untuk membesarkannya lagi membuatkan penduduk hidup dalam keadaan tertekan apabila terpaksa menghidu bau busuk sampah yang mungkin lebih teruk selepas ini.

“Kami berharap, kalau pun projek sel baharu ini tidak dapat dihentikan, tolonglah pertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan lori-lori sampah patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Shukor Abdul Rahim

Pandangan sama disuarakan penduduk Taman Bertam Putra, Shukor Abdul Rahim, 40, apabila keadaan itu menyebabkan penduduk berdepan turut berdepan masalah keselamatan selain kesihatan.

“Manakan tidak, bila kawasan berbau busuk banyaklah haiwan perosak dan binatang liar seperti tikus, lipas, anjing liar dan lalat yang menggugat ketenteraman kami.

“Kalau tak percaya, cuba lancarkan pelan tindakan komuniti di Sungai Udang sebagaimana dilancarkan di kawasan lain
untuk mewujudkan persekitaran luar rumah yang lebih selesa.

“Saya yakin, sekiranya pelan itu dibuat di sini, tapak sampah ini akan menjadi cabaran besar kepada kerajaan sekali gus menggagalkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Mohd Fadly Zainal Abidin

Masalah serupa juga disokong peniaga, Mohd Fadly Zainal Abidin, 37, yang tidak menyangka kediaman berharga RM480,000 dibelinya pada November tahun lalu ‘disertai pakej sampah’.

“Pada waktu senja dan menjelang subuh terutamanya, bau busuk yang meloyakan membuatkan kami terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa.

“Nak buat kenduri pun malu, itu belum dikira lagi untuk beriadah di luar rumah malah anak-anak kerap sakit dan demam selain menyebabkan masalah kulit akibat udara yang tercemar,” dakwanya lagi.

Permasalahan penduduk di Taman Bertam Putra, Taman Indah, Taman Bertam Impian dan Taman Desa Bertam itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mendesak kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat.

Dr Mohd Aleef Yusof

“Sejak saya menjadi ADUN di sini pada 2021, isu penutupan pusat sampah ini sentiasa diperjuangkan namun ianya sia-sia dan kini rakyat semakin marah apabila kerajaan mahu membesarkan pula pusat pelupusan sampah ini.

“Sudah-sudahlah menekan rakyat dihimpit sengsara menanggung pencemaran bau sejak 10 tahun lalu dan kini terpaksa berdepan lagi masalah sama sehingga pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga atau Waste-to-Energy (WTE) yang dijangka siap pada 2029,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast