Perdana Menteri, juga Presiden Parti Keadilan Dato' Seri Anwar Ibrahim, bertemu pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam. 18 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – “Kita mesti berani mempertahan prinsip ketelusan dan semak imbang. Mahkamah mesti bebas tetapi bukan mutlak tanpa pertanggungjawaban,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, petang tadi beliau bertemu pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam dan beliau turut mengambil kesempatan menjelaskan beberapa isu semasa termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang diganggu dengan tuduhan dan fitnah kononnya kita mahu merosakkan institusi kehakiman.

“Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan tersebut,” katanya.

Presiden PKR itu berkata, di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap punyai ruang menyuarakan pandangan.

“Yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik,” jelas beliau dalam kenyataan di media sosial.

Beliau seterusnya mahu ahli-ahli parti tidak harus terperangkap dalam naratif lawan yang cuba mencipta persepsi kononnya wujud krisis atau konspirasi.

“Saya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, saya tidak boleh menyatakannya secara terbuka sebelum ini kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tegaskan amanah ini akan saya galas dengan penuh prinsip dan kekuatan. Kita tidak sempurna tetapi banyak yang telah kita laksanakan antaranya kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC, bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Selain itu, Anwar mahu jentera parti perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar berkenaan kerana apabila berdiam, fitnah akan tersebar.

“Menyentuh situasi parti pasca pemilihan, saya tegaskan KEADILAN mesti terus maju ke hadapan.

“Yang kalah perlu hormat keputusan manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan. Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok.

“Kita harus perkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan musuh yang punyai dana, pengaruh dan rangkaian luas. Tetapi kita punya kekuatan sebenar: rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara.

“Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast