KLUANG – Seorang lelaki ditahan kerana melakukan onani di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Batu 4, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pukul 4.22 petang selepas video perbuatan tersebut tular.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 4.16 petang semalam membabitkan seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak sopan di lokasi awam berkenaan.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya membuat tangkapan terhadap suspek
“Lelaki warga tempatan berusia 55 tahun itu ditahan di tepi Jalan Besar Mersing pukul 5 petang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil semakan katanya, mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah, namun saringan ujian air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.
Kes itu katanya, disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.
Tambahnya, boleh juga menghubungi IPD Kluang 07-7784222/07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (tablet DCC).- MalaysiaGazette
















