ALOR GAJAH – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandung kekasihnya, bayi perempuan berusia 19 bulan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian bayi perempuan berusia 19 bulan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9 malam 6 Julai 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu untuk laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 23 September depan untuk sebutan semula kes.
MalaysiaGazette pada 7 Julai lalu melaporkan, seorang wanita dan kekasihnya yang disyaki membunuh bayinya berusia 19 bulan dengan cara mendera mangsa pada malam hari sebelumnya direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Bayi wanita itu dengan bekas suaminya dipercayai dibunuh dengan kesan kecederaan di lubang dubur di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini.
Kejadian terbongkar kira-kira 11 malam 6 Julai lalu selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar pasangan itu.
Hasil pemeriksaan doktor turut mendapati kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan di lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis sehingga kedua-dua suspek diberkas.
Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki yang bekerja di kedai pancing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi manakala kekasihnya yang menganggur tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan. – MalaysiaGazette
















