SEOUL – Korea Utara telah menyekat warga asing berkunjung ke pusat peranginan pantai yang baharu dibuka, kata pentadbiran pelancongan negara itu minggu ini, hanya beberapa hari selepas diplomat tertinggi Rusia melawat kawasan itu.
Pusat peranginan tepi laut yang luas di pantai timurnya, projek yang diilhamkan oleh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibuka kepada pelawat domestik awal bulan ini yang mendapat liputan hangat media kendalian kerajaan.
Digelar “Waikiki Korea Utara” oleh media Korea Selatan, Zon Pelancong Pantai Wonsan-Kalma nampaknya dipenuhi dengan hotel bertingkat tinggi dan taman air, yang boleh memuatkan kira-kira 20,000 orang.
Media kerajaan sebelum ini berkata, lawatan ke Wonsan oleh kumpulan pelancong Rusia dijangka dalam beberapa bulan akan datang.
Tetapi selepas lawatan Lavrov, Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan Utara berkata “pelancong asing tidak diterima buat sementara waktu” tanpa memberikan butiran lanjut, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi minggu ini.
Sejak tahun lalu, Korea Utara telah membenarkan pelancong Rusia datang buat kali pertama sejak wabak Covid-19 dan pengendali pelancongan Barat kembali ke republik itu pada Februari tahun ini.
Kementerian Penyatuan Seoul, bagaimanapun menjangkakan, pelancongan antarabangsa ke resort baharu itu “kemungkinan kekal dalam skala kecil” memandangkan kapasiti penerbangan yang tersedia terhad.
Jong-un sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov di Wonsan minggu lalu, yang mana dia menawarkan Moscow sokongan penuh dan “tanpa syarat” untuk perangnya di Ukraine, lapor KCNA.
Lavrov dilaporkan memuji projek tepi laut itu sebagai “tarikan pelancong yang baik”, sambil menambah ia akan menjadi popular dalam kalangan pelawat tempatan dan Rusia yang mencari destinasi baharu.
Menjelang lawatan Lavrov baru-baru ini, Rusia mengumumkan akan memulakan penerbangan dua kali seminggu antara Moscow dan Pyongyang. – Agensi
















