PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara baharu dan beberapa hakim lain membuktikan tohmahan sesetengah pihak kononnya badan kehakiman negara tidak bebas sebenarnya tidak berasas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan pelantikan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja, beliau berharap fitnah terhadap dirinya bakal lenyap dan tidak timbul lagi.
“Saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan YDPA, terpadamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini.
“Berminggu-minggu dikecam dan difitnah, tapi sekarang rupanya terbukti kenyataan itu meleset.
“Ada kononnya (mengatakan terdapat) nama-nama yang ditonjolkan (seperti) mantan Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Namun nama beliau tidak pernah diusulkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau turut ditanyakan oleh Pengerusi Majlis Raja-Raja yang juga Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagaimana khabar angin mengenai Terrirudin boleh timbul sebagai calon Ketua Hakim Negara sedangkan namanya tidak pernah dipersembahkan kepada YDPA.
“Tuanku Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Raja-Raja tanya, nama tak dibawa oleh saya, tak dikemukakan kepada YDPA. Bagaimana boleh timbul?
“Ia timbul hasil sebaran dalam kalangan tokoh-tokoh peguam yang (bermain) politik, saya tidak fikir ini gesaan daripada semua (pihak). Saya harap dengan (penjelasan) ini menjernihkan keadaan,” katanya.
Perdana Menteri berharap budaya fitnah itu harus dihentikan segera yang secara jelas tidak merujuk kepada fakta yang sebenar.
“Satu hal saya nak tekankan bahawa budaya fitnah ini harus dihentikan, cerca dan kecam ini tanpa merujuk kepada fakta, ini yang pernah saya sebut terdahulu.
“Keputusan kita ambil itu ambil kira bahawa badan kehakiman itu kedudukan dalam tonggak dalam negara yang berdaulat merdeka dengan prinsip demokrasi berparlimen dan raja-raja berperlembagaan,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia dalam satu kenyataan tengah malam tadi memaklumkan Sultan Ibrahim berkenan melantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Seterusnya, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim lain yang baru dilantik itu.
“Saya ucap tahniah, Alhamdulillah dan tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Farid dan Hakim Malaya sedia ada Tan Sri Hasnah dan pelantikan baharu presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Bakar Jais dan hakim Mahkamah Rayuan Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawi.
“Ini nampak satu mandat dan Insya-Allah mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















