JOHOR BAHRU – Polis tidak menolak kemungkinan penutup lubang pembentungan tercabut selepas dilanggar van sekolah yang membawa 16 pelajar sehingga terbalik di Jalan Abdul Samad di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bagaimanapun perkara tersebut masih lagi dalam siasatan pihaknya.
Beliau juga menolak dakwaan penutup lubang lobang pembentungan itu terbuka berikutan ada kaitan dengan kes curi kabel kerana tiada laporan berkenaan kes tersebut.
“Siasatan mendapati van sekolah jenis Nissan Urvan itu dalam perjalanan mengambil dan menghantar pelajar ke beberapa sekolah sekitar Johor Bahru.
“Semasa melalui lokasi kejadian van sekolah itu telah melanggar sebuah lubang pembentungan di tepi jalan sebelum hilang kawalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, terdapat 17 orang dalam van tersebut melibatkan pemandu, sembilan pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan berusia 9 hingga 15 tahun.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 11 orang mengalami kecederaan luka-luka dan di rawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Selebihnya tidak mengalami kecederaan serius,” tambah beliau.
Dalam kejadian pada pukul 7.01 pagi itu, van sekolah berkenaan terbalik dan mengakibatkan beberapa mangsa cedera termasuk patah tangan dan patah jari.
Mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khaled dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.- MalaysiaGazette
















