Mohd Hazimin (tengah) memeriksan bungkusan barangan yang dijual di sebuah pasar raya di Durian Tunggal, Alor Gajah, melaka menerusi Op Kesan 4.0.

ALOR GAJAH – Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka meminta pengguna berhati-hati dengan helah beberapa syarikat yang mengurangkan kuantiti bungkusan sebanyak 10 peratus tetapi menjualnya pada harga sama seperti sebelum ini.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, perbuatan memanipulasi pengguna itu turut dikesan terhadap beberapa barangan yang dijual di sebuah pasar raya di Durian Tunggal di sini menerusi Op Kesan 4.0.

“Apa yang kita kesan dalam op ini, memang tidak berlaku kenaikan harga tapi dia (syarikat) mengecilkan saiz bungkusan.

“Contohnya sebelum ini dijual dalam pek 1,000 gram, sekarang 900 gram, dulu 500 gram, kini 400 gram tapi harga masih sama memang tiada kenaikan.

“Ini pengguna kena cakna dan kalau mereka rasa teraniaya, boleh adu terus kepada KPDN Melaka secara WhatsApp ke 019-8488000 kerana itu pun satu bentuk manipulasi,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini semalam.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin

Menurutnya, KPDN Melaka akan segera bertindak berdasarkan maklumat itu meminta laporan terperinci daripada syarikat untuk menilai sama ada tindakan pengurangan kuantiti itu berasas atau sebaliknya.

“Kalau kuantiti begitu dan keuntungannya tidak munasabah, syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada penindasan harga dan memastikan perdagangan yang adil sebab itu pengguna kena cakna, telitilah barang dulu dan sekarang kerana sesetengahnya memang ada perbezaan,” katanya.

Menerusi Op Kesan 4.0, Mohd Hazimin berkata, KPDN Melaka memfokuskan kepada lima barangan asas keperluan isi rumah bagi hak pengguna dilindungi daripada sebarang tindakan manipulasi.

Ia adalah roti putih, tepung gandum, susu pekat, sardin dan minuman malt coklat susulan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang bermula 1 Julai lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast