JASIN – Padah menyamar sebagai anggota polis untuk mengambil sebuah motosikal – seorang remaja lelaki diberkas di sebuah pasar raya berdekatan Kawasan Perindustrian Telok Mas di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, suspek berusia 18 tahun ditahan kira-kira 9 malam tadi susulan laporan polis dibuat mangsa, seorang perempuan berusia 19 tahun pada awal pagi 16 Julai lalu.
Menurutnya, pengadu mendakwa telah ditahan oleh suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 nombor pendaftaran tidak pasti dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis di simpang lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau.
“Suspek kemudian dikatakan meminta pengadu mengeluarkan lesen memandu dan mahu mengambil kunci motosikal pengadu jenis jenis Yamaha Y15 tetapi gadis berusia 19 tahun itu tidak memberikannya.
“Pengadu kemudian mengajak suspek ke Balai Polis Merlimau jika mengambil tindakan lanjut terhadapnya namun remaja berkenaan membatalkan hasratnya dan beredar dari lokasi,” katanya.
Bertindak hasil maklumat sepasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Merlimau, Asisten Superintendan Hairul Azrin Abd Ghani kemudian berjaya menahan suspek, pekerja restoran makanan segera yang mengaku terlibat dengan kes itu.
“Beberapa barangan turut dirampas termasuk kenderaan yang digunakannya dan suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret Jasin bagi permohonan reman selama tiga hari bermula hari ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















