KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas akan terus berjuang demi bangsa dan tanah air selagi hayat dikandung badan meskipun sudah menjangkau usia satu abad.
Beliau berkata, semangat cintanya kepada negara tidak pernah pudar walaupun ramai yang menyarankan beliau untuk berehat dan memberi ruang kepada generasi muda.
“Ya, saya tua. Tetapi rasa sayang kepada negara tidak pernah luntur. Ini negara saya. Saya dilahirkan di sini. Saya membesar di sini. Pahit maung dan suka duka pun di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mahathir juga mengakui bahawa memiliki sebuah negara sendiri merupakan suatu anugerah yang tidak boleh disia-siakan.
“Saya Melayu. Ini negara Melayu, negara saya. Tak lupa saya akan orang yang tidak ada negara. Alangkah baik nasib saya mempunyai negara sendiri,” ujarnya.
Menurut beliau, tanggungjawab terhadap negara tidak seharusnya terhenti hanya kerana faktor usia, sebaliknya perlu diteruskan demi memastikan masa depan bangsa dan tanah air terus terpelihara.
“Negara perlu dipelihara dengan baik. Jika tidak akan hilanglah negara saya. Sebab itu selagi ada hayat, akan saya sumbang tenaga dan akal fikiran kepada negara dan bangsa,” katanya lagi.
Mantan Perdana Menteri dua kali itu turut menyeru agar generasi muda turut memikul tanggungjawab tersebut, kerana menurutnya, mereka akan menjadi penerus perjuangan selepas beliau tiada.
“Saya ingin bersama yang muda memelihara bangsa. Melindungi negara tercinta. Selepas saya pergi, merekalah yang akan ambil alih,” katanya. -MalaysiaGazette
















