Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi pelepasan kepada pegawai-pegawainya untuk mengikuti program khas Kecerdasan Buatan (AI) di universiti tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya JIM melalui kemahiran teknologi baharu itu.

“Sekarang kita tahu, bahagian sumber manusia hantar dulu peringkat demi peringkat pegawai Imigresen ke fakulti-fakulti di universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kita berikan pelepasan satu atau dua minggu untuk perkenalkan dengan pengetahuan tentang AI, bangunkan kemahiran menggunakan AI yang sedang berkembang pantas saban hari,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2025 kali ke-103 di ibu pejabat JIM, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memeriksa perbarisan pada Sambutan Hari Imigresen 2025 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2025

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban.

Saifuddin berkata, agensi kerajaan perlu mencontohi syarikat gergasi dunia seperti Ali Baba yang mempunyai keupayaan untuk menjana jualan sehingga 230,000 transaksi sesaat.

“Syarikat yang betul-betul memanfaatkan teknologi AI adalah syarikat Ali Baba dari China.

“Dia punya pangkalan data pelanggan dia berjumlah 800 juta orang. Transaksi dalam talian dia pula kalau dia luncurkan jualan-jualan istimewa, satu saat merekodkan 230,000 transaksi dalam talian.

“Dia tak ada minyak, dia tiada gas, tetapi dia punya sumber manusia yang kuasai teknologi baharu. Kerana itu jualan dalam taliannya sahaja boleh menjana 230,000 transaksi sesaat,” katanya.

Menurut Saifuddin, agensi-agensi kerajaan khususnya penguatkuasaan perlu menguasai teknologi AI jika tidak mahu ketinggalan dengan negara lain.

“Hari ini kita menerima perubahan AI, kita sudah tertinggal tiga tahun, tapi kalau kita tidak menerima perubahan langsung, kita mungkin tertinggal 30 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast