Keadaan dua pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melecur dalam kejadian letupan dan kebakaran sebuah stesen pencawang TNB di Pangsapuri Rumpun Bahagia, Jalan Bachang, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Dua pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) melecur dalam kejadian letupan dan kebakaran sebuah stesen pencawang TNB di Pangsapuri Rumpun Bahagia, Jalan Bachang di sini pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ismail Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua mangsa warga tempatan lelaki berusia 30-an melecur di beberapa anggota badan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 pagi sebelum tiga jentera termasuk sebuan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati benar berlaku letupan dan kebakaran di stesen pencawang TNB mengakibatkan dua pekerjanya yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terkena renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ismail, mangsa yang melecur telah dibawa ke hospital oleh pihak kesihatan untuk rawatan lanjut sebelum ketibaan bomba yang meneruskan usaha memadam kebakaran.

“Operasi terkawal pukul 10.47 dan tamat lima minit kemudian sebelum bomba meninggalkan lokasi selepas mendapati tiada risiko bahaya lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast