MELAKA – Tindakan seorang bapa memaklumkan anak lelakinya yang kritikal sudah meninggal dunia akibat otaknya gagal berfungsi selepas lemas di kolam renang rumah inap di Kota Laksamana semalam mungkin akibat gagal mengawal emosi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, hakikat sebenarnya kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berada dalam kritikal dan kini bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafsan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
“Bagaimanapun tadi sewaktu melawatnya di PICU, doktor beritahu otak mangsa sudah tidak lagi berfungsi atau otak mati dan bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan penafasan.
“Sekarang ini hanya keajaiban Allah boleh menentukan segalanya sebab itu saya rasa hari pertama kejadian pun (bapa) dah terasa kecewa sangat sebab itu terlepas cakap (mati), mungkinlah,” katanya ketika ditemui pemberita di PICU Hospital Melaka hari ini.
Terdahulu bapa kanak-kanak itu, Ahmad Ridzuan Supian, 36, mengesahkan kepada wartawan anaknya itu, Ahmad Firdaus Iqbal, 7, sudah meninggal dunia selepas tidak menunjukkan reaksi balas ketika dirawat di PICU kira-kira 12 malam tadi.
Lelaki itu turut memaklumkan otak anak bongsu daripada dua beradik itu sudah mati dan jenazah akan dibawa pulang ke Johor untuk pengebumian dan turut berkongsi berita itu menerusi akaun TikToknya pukul 3 pagi tadi.
Bagaimanapun, timbul pertikaian dalam kalangan ahli keluarga kanak-kanak itu mendakwa mangsa belum meninggal dunia dan masih dalam kritikal di hospital.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata, kanak-kanak itu akan menjalani satu prosedur khas esok untuk mengetahui adakah mangsa boleh diselamatkan sekiranya mesin bantuan pernafasan dicabut.
“Saya tanya doktor tadi, bagaimana jika mesin itu dicabut memandangkan dia bergantung penuh bapa alat itu dan doktor beritahu ia akan ditentukan esok sama ada mangsa boleh diselamatkan atau tidak.
“Tapi saya lihat tadi ibu dan bapanya sudah reda dengan apa jua kemungkinan walaupun trauma dalam tragedi menyayat hati ini,” katanya.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.45 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki Melayu berumur tujuh tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.
“Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan CPR kepada mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum mangsa di bawa ke Hospital Melaka oleh ambulans. – MalaysiaGazette
















