Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Tuduhan beberapa Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya Ketua UMNO Bahagian tidak beradab hanya kerana meminta penjelasan berkenaan titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan dangkal dari segi logik politik.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menyifatkan tuduhan itu cuba memesongkan perhatian daripada fakta yang telah diperakui di mahkamah bahawa titah adendum tersebut telah disahkan kewujudannya secara sah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkenaan, desakan untuk perdana menteri menjelaskan pelaksanaan titah itu bukan satu bentuk tekanan politik, tetapi tuntutan moral dan perundangan yang wajar dalam sistem Raja Berperlembagaan.

“Kami ingin mengingatkan bahawa prinsip pengasingan kuasa bukanlah alasan untuk perdana menteri mengelak daripada memberi pencerahan terhadap sesuatu yang telah menjadi tanda tanya besar di kalangan rakyat.

“Jika tiada apa yang disembunyikan, maka tidak perlu gusar dengan desakan terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa Ketua Cabang PKR dari seluruh negara termasuk di Kelantan yang mempersoalkan tindakan seramai 160 Ketua UMNO bahagian yang menggesa supaya titah adendum terhadap Najib dilaksanakan segera.

Menurut Ketua-ketua Cabang PKR berkenaan, sebarang usaha untuk membicarakan semula perkara ini termasuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan bersendirian adalah satu usaha yang membelakangkan Perlembagaan negara.

Mohd Azmawi Fikri berkata, apa yang sepatutnya dipersoalkan bukan tindakan UMNO menuntut pelaksanaan titah adendum tersebut, tetapi tindakan yang cuba menutup mulut rakyat dengan naratif adab dengan membiarkan fakta sebenar tergantung.

“Jika titah sudah sah, mengapa pelaksanaan masih kabur? Jika kerajaan berpegang pada prinsip, mengapa lidahnya kelu ketika rakyat bertanya?” katanya.

Sementara itu, tambahnya, Pemuda UMNO Kelantan menyeru semua pihak, khususnya yang memegang tampuk kuasa untuk tidak menjadikan adab sebagai alasan membungkam kebenaran.

Tegas beliau, rakyat hari ini bukan sekadar menuntut jawapan, sebaliknya mereka menuntut kejujuran daripada kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast