Mohd Syahir Che Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya mengekang pelakuan perniagaan yang dilarang termasuk pujukan agresif, manipulasi kontrak, pemberian kredit tanpa semakan kewangan dan taktik kutipan hutang yang menindas.

Cadangan tersebut diutarakan Syahir Sulaiman (Pas-Bachok) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa yang sama jelasnya, promosi dan iklan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) perlu dipastikan tidak bersifat mengelirukan, contohnya tanpa faedah, mudah lulus atau beli dulu, fikir kemudian.

“Pendedahan risiko perlu diwajibkan dalam semua promosi bagi memastikan perlindungan kredit pengguna benar-benar berkesan,” katanya.

Sebaliknya beliau berkata, pendedahan maklumat komprehensif perlu disertakan sebelum pengguna menandatangani perjanjian.

Tambah Syahir, penilaian kemampuan kredit hendaklah diketatkan, terutama aspek penggajian kerana mahasiswa kini sudah ramai terjebak dengan tunggakan hutang BNPL.

“Bantuan kepada pengguna yang mengalami kesusahan kewangan perlu diperincikan, termasuk penjadualan semula bayaran, moratorium serta rujukan automatik kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi kes yang kritikal.

“Lima penegasan ini penting supaya akta ini benar-benar memberi keseimbangan antara ketercapaian kredit dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda dan berpendapatan rendah yang paling terdedah kepada risiko kewangan,”jelasnya.

RUU tersebut dibaca kali kedua oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast