Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Titah adendum supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki tahanan di rumah perlu dilaksanakan segera tanpa lagi berdolak-dalik.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, usaha mendapatkan keadilan buat Najib bukan semata-mata kerana beliau seorang pemimpin UMNO, tetapi kerana prinsip keadilan yang mesti ditegakkan untuk semua.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk melahirkan keyakinan keadilan buat Najib tidak akan terhenti hanya setakat titah adendum (tahanan rumah), tetapi akan diteruskan sehingga beliau bebas sepenuhnya.

Tambahnya, beliau percaya kepimpinan UMNO akan terus berusaha dalam ruang lingkup undang-undang dan kemampuan untuk memastikan suara keadilan itu sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Kita mesti memelihara prinsip bahawa undang-undang negara ini tidak boleh dipilih pelaksanaannya mengikut selera pihak tertentu sahaja.

“Saya yakin bahawa rakyat Malaysia yang berfikiran waras dan cintakan keadilan akan melihat perkara ini secara rasional, tanpa dipengaruhi sentimen politik semata-mata,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sementara itu, Nurulhidayah menempelak pihak yang berterusan menangguk di air keruh yang cuba menafikan usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mendapatkan keadilan buat Najib sehingga membuka ruang fitnah di media sosial.

Menurutnya, sejak awal proses titah adendum itu berlangsung, Ahmad Zahid tidak pernah berdiam diri atau membiarkan keadilan untuk Najib dinafikan.

Malah, ujarnya, beliau telah berulang kali menyuarakan pendirian dengan jelas bahawa sesiapa sahaja warganegara Malaysia, berhak mendapat keadilan yang saksama seperti termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan.

“Titah Addendum YDPA yang telah DISAHKAN WUJUD (walaupun ada yang DAHULU menyatakan ia adalah SANDIWARA ZAHID), ternyata adalah satu titah yang sah.

“Sehubungan itu, perlu difahami juga bahawa DSNR (Najib) tetap menjalani baki hukuman yang telah diputuskan, namun dalam bentuk tahanan di rumah, seperti yang telah diperkenankan oleh YDPA (Agong) melalui titah addendum tersebut, dan BUKAN dibebaskan sepenuhnya,” katanya.

Jelas Nurulhidayah, pelaksanaan tahanan di rumah bukan keistimewaan luar biasa, tetapi sebahagian daripada pengurangan hukuman yang telah diperkenan Agong, mengambil kira faktor-faktor yang dipertimbangkan secara adil dan bijaksana.

“Saya berharap agar pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti untuk mengelirukan sesiapa sahaja dengan menyebarkan maklumat yang salah bahawa DSNR (Najib) sepatutnya ‘dibebaskan’,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast