Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Malaysia Blockchain Infrastructure yang diwujudkan untuk menyatukan ekosistem blockchain yang berasingan.

Ini membolehkan kesepaduan antara platform awam serta rantaian persendirian melalui satu sistem seragam.

Platform yang dibangunkan MIMOS Bhd itu, akan mempermudah penggunaan teknologi blockchain oleh pengguna bukan teknikal dan memacu keterangkuman melalui kelayakan boleh disahkan (seperti MyDigital ID), token tidak boleh ditukar (non-fungible tokens, NFT), aplikasi decentralised finance (DeFi) dan banyak lagi.

Peneraju awal akan mula melaksanakan penyelesaian berasaskan blockchain dalam identiti digital, pengewangan aset dan pengesahan rantaian bekalan.

Menurut MOSTI, Malaysia Blockchain Infrastructure juga menyokong transaksi rentas rantai yang selamat, telus dan cekap.

Dengan capaian bersama dan sistem yang dipermudah, platform tersebut menggalakkan inovasi digital yang pantas dan kos efektif.

“Ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat teknologi dikongsi secara saksama, demi kemajuan digital yang lestari.

“Sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara, MIMOS memainkan peranan penting dalam memacu penerimagunaan teknologi blockchain. Malaysia Blockchain Infrastructure bertujuan menangani cabaran ekosistem yang berasingan dengan menyatukan pelbagai platform,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia Blockchain Infrastructure dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, hari ini, sempena Minggu Blockchain Malaysia 2025.

Katanya, MOSTI komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital dalam memperluas penggunaan teknologi blockchain merentas sektor-sektor utama negara.

“Daripada meningkatkan ketelusan dan keselamatan data dalam sistem pentadbiran kerajaan, memperkukuh pensijilan halal, hinggalah mempertingkat kecekapan dalam perdagangan dan rantaian bekalan — matlamat kita adalah untuk memastikan teknologi blockchain dimanfaatkan secara praktikal dan berimpak dalam menyokong pembangunan negara serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” ujar beliau.

Tambahnya, semua pihak berkepentingan, termasuk industri, penyelidik, dan pembuat dasar, perlu untuk terus mengekalkan semangat kolaborasi yang kukuh dalam merealisasikan inisiatif itu.

Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta adalah kunci utama bagi Malaysia dalam membangunkan ekosistem blockchain yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan di peringkat serantau. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast