Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf hadir bela diri pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik itu ditemani bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari di Mahkamah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JULAI 2025. (GAMBAR FAIL)

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini diberitahu bagaimana ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Matin mengesyaki anaknya diculik pada hati kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.

Ismanira Abdul Manaf berkata, kehilangan anaknya mula disedari sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas Zayn Rayyan bermain di taman permainan di bawah kediaman mereka.

Katanya, ketika menaiki tangga menuju ke rumah, dia tidak lagi mendengar bunyi tapak kaki Zayn yang berada di belakangnya.

“Saya naik tangga dengan memegang barang dan beg sekolah Zayn. Zayn di belakang saya, tapi bila dah separuh jalan naik tangga, saya sedar tiada lagi bunyi tapak kakinya. Sebab itu saya syak dia dicekup dan dilarikan orang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa memberi keterangan pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh

Kenyataan itu menyaksikan Raja Zaizul Faridah mempertikaikan kesahihannya.

Raja Zaizul: Kalau benar anak puan dilarikan, tentu puan boleh dengar bunyi tapak kaki berlari. Betul?

Ismanira: (Minta soalan diulang)

TPR: Kalau benar anak puan dilarikan, tentu puan akan dengar bunyi tapak kaki berlari, betul?

Ismanira: Ya, betul.

TPR: Jadi dalam kejadian ini, mengapa puan tidak dengar apa-apa? Adakah puan bersetuju bahawa sebenarnya tiada sesiapa yang cekup atau larikan anak puan?

Ismanira: Tidak setuju. Maaf.

TPR: Tadi puan kata menoleh setiap masa. Kalau begitu, tentu puan akan nampak kelibat Zayn, bukan?

Ismanira: Bukan setiap masa. Saya gunakan deria pendengaran untuk pantau Zayn waktu itu. Saya dengar bunyi tapak kakinya dari belakang.

TPR: Sekejap tadi kata setiap masa, sekarang bukan setiap masa. Tak apa. Kalau puan benar-benar tengok dengan mata, sudah tentu puan tak akan terlepas pandang anak sendiri. Setuju?

Ismanira: Tidak setuju.

Ismanira memaklumkan beliau biasa memantau anaknya dengan menggunakan deria pendengaran kerana Zayn seorang kanak-kanak autistik yang gemar bergerak mengikut rutin tetap.

Sebelum ini, Ismanira dan suami, Zaim Ikhwan Zahari diperintah membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, semalam, mahkamah melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Pasukan pendakwaan diketuai Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast