KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan hari ini meluluskan usul supaya Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, langkah itu bagi mengembalikan semula struktur tadbir urus lebih teratur dan berfokus kepada Wilayah Persekutuan selepas pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2022.
“Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah nadi pentadbiran, ekonomi dan wajah Malaysia di mata dunia.
“Namun sejak pembubaran kementerian itu, kita lihat wujudnya kekaburan dari segi hala tuju, penyelarasan dasar dan pelaksanaan projek-projek penting,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Aliff Firdaus berkata, ketiadaan struktur itu mewujudkan jurang dalam penyampaian dasar dan kebajikan rakyat di wilayah ini, terutama kepada golongan Melayu bandar, B40 serta anak muda yang terdedah kepada pelbagai risiko sosial dan ekonomi.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Labuan Corporation dan Yayasan Wilayah kini bergerak secara berasingan tanpa arahan dasar seragam, sekali gus menjejaskan keberkesanan pentadbiran.
“Dengan menempatkan Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah tanggungjawab TPM 1, kita boleh menjamin koordinasi lebih mantap antara agensi dan dalam masa sama mengangkat suara rakyat Wilayah ke peringkat tertinggi pembuat dasar,” katanya.
Selain itu, katanya, pendekatan itu juga selari dengan semangat Persekutuan yang mengangkat Sabah dan Sarawak melalui peranan khas Timbalan Perdana Menteri Kedua.
“Justeru, Wilayah Persekutuan juga wajar diberi perhatian sewajarnya dalam pentadbiran negara.
“Ini bukan sekadar cadangan teknikal pentadbiran, tetapi satu keperluan strategik untuk masa depan negara.
“Kita mahu pembangunan bandar lebih inklusif, kebajikan terjaga, dan keyakinan rakyat bandar terhadap kerajaan dapat dikembalikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















