Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan program ‘parti gay’ yang didakwa sebenarnya satu program kesedaran kesihatan berkaitan HIV yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan AIDS Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program berkenaan sebahagian daripada usaha pendidikan kesihatan yang menyasarkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti HIV bukan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Pengesahan itu dibuat menerusi kenyataan Dr Dzulkefly di laman X rasminya malam tadi sebagai respon kepada pengguna media sosial yang memintanya mempertahankan program berkenaan.

Meskipun tidak mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan polis namun beliau berkongsi kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menjelaskan latar belakang sebenar program tersebut.

Menurut Dr Zaini, aktiviti jangkauan komuniti itu dianjurkan oleh Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat), sebuah NGO di bawah Yayasan AIDS Malaysia yang telah menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sejak 2006.

“Kerjasama antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri dan NGO kesihatan adalah penting dalam usaha menjangkau populasi berisiko tinggi.

“Ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal serta manfaat rawatan dalam mencegah komplikasi serius,” katanya.

Menurutnya, pendidikan kesihatan adalah penting bagi melindungi kontak rapat seperti isteri dan anak-anak yang mungkin turut berisiko dijangkiti.

Program itu juga memberi tumpuan kepada kesedaran mengenai jangkitan HIV, penyakit kelamin dan Hepatitis C khususnya dalam kalangan penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki.

Sebelum ini, media melaporkan polis menyerbu program tersebut pada 17 Jun lalu sekitar 1 pagi dan merampas pelbagai ubat HIV serta kondom.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Yusoff Mamat dilaporkan berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat orang awam dan risikan pasukan khas terhadap satu acara bertemakan makanan yang dipercayai dianjurkan untuk komuniti gay.

Bagaimanapun beberapa NGO menafikan dakwaan itu dan menjelaskan program berkenaan adalah usaha memberikan maklumat kesihatan seksual dan HIV, mengedar kondom serta menyediakan ujian saringan HIV secara sukarela bagi menggalakkan amalan seks selamat.

Majlis AIDS Malaysia turut memaklumkan program diadakan pada waktu malam untuk menjaga kerahsiaan peserta memandangkan ujian HIV mengambil masa antara 10 hingga 15 minit bagi setiap individu.

Mereka yang didapati reaktif akan diberikan kaunseling dan dirujuk untuk rawatan susulan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast