Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit dalam nahas membabitkan dua kenderaan di di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan menghala ke Bidor, pada Selasa. Foto ihsan JBPM PERAK.

TAPAH – Tiga maut manakala tiga yang lain cedera dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Tapah menghala ke Bidor di sini hari ini.

Tiga mangsa maut dikenali sebagai, Chong Ong, 77, Teh Kim Kai, 76, dan Tan Ah Tak, 70, yang menaiki SUV Proton X50.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar 11.19 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba dilokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton X50.

“Terdapat seorang mangsa lelaki 31 tahun menaiki Toyota Vios manakala lima mangsa lelaki lagi yang berusia antara 68 hingga 77 tahun menaiki Proton X50.

“Tiga mangsa yang menaiki SUV tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi cedera dalam insiden tersebut.

“Ketua operasi mengadakan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) serta mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dan maut dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast