Sesi praktikal...Peserta mengukur, membedah, dan merekod data spesimen ikan dengan penuh fokus dan kerjasama.

KUALA LUMPUR – Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Pengawetan dan Pendigitalan Ikan selama tiga hari, dari 8 hingga 10 Julai 2025, yang bertujuan untuk memperkukuh kapasiti saintifik dalam penyelidikan iktiologi dan pendigitalan spesimen.

Menurut Profesor Madya Dr. Evan S.H. Quah dari IBTP, yang juga merupakan salah seorang penyelaras program, bengkel ini telah menghimpunkan seramai 17 orang
peserta daripada pelbagai agensi negeri dan kebangsaan di seluruh Malaysia, termasuk Taman-Taman Sabah, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Marin
Borneo dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam teknik pengawetan ikan yang tepat secara saintifik serta menggalakkan penggunaan teknologi pendigitalan terkini.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan akses dan analisis data spesimen, malah turut menyumbang kepada pemahaman yang lebih tepat dalam taksonomi
ikan, seterusnya menyokong penyelidikan biodiversiti berkualiti tinggi dan memperkukuh kerjasama antara institusi.

“Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Tan Heok Hui, seorang ahli iktiologi terkemuka dunia dan Kurator Bahagian Ikan di Muzium Sejarah Alam Lee Kong Chian, Universiti Nasional Singapura,” kata Dr. Quah semasa sesi penutupan bengkel.

Tan merupakan pakar dalam bidang taksonomi, biogeografi dan filogenetik ikan air tawar Asia Tenggara serta telah menerangkan lebih daripada 140 spesies baharu sepanjang kerjayanya.

Antara sumbangan penting beliau ialah The Borneo Suckers, sebuah karya rujukan utama dalam sistematik ikan Gastromyzon yang endemik di Borneo.

Quah turut menekankan kepentingan bengkel ini dalam memupuk minat dan membina kepakaran tempatan dalam penyelidikan biodiversiti dan pemuliharaan spesies.

“Sabah mempunyai sejarah yang kaya dalam kajian iktiologi yang bermula sejak tahun 1800-an apabila naturalis John Whitehead mula mengumpul spesimen semasa
ekspedisinya ke Gunung Kinabalu.

“Borneo merupakan habitat kepada sekitar 680 spesies ikan air tawar, dengan hampir separuh daripadanya adalah spesies endemik. Di Sabah sahaja, terdapat
kira-kira 150 spesies. Maka, adalah amat penting untuk kita melabur dalam pengawetan dan dokumentasi yang betul bagi memastikan pemuliharaan
jangka panjang spesies-spesies ini,” jelas beliau.

Bengkel ini turut sejajar dengan usaha berterusan Sabah untuk memajukan pemuliharaan biodiversiti serta menggalakkan penerokaan saintifik terhadap
ekosistem air tawar yang unik di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast