KEPALA BATAS – Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung siasatan program motivasi rumah tangga Empowering Harmony in Total Intimacy (eHATI) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan kes itu kini sedang berjalan dengan kerjasama antara JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan masih dijalankan ketika ini, jadi kita tunggulah hasil daripada siasatan itu. Beberapa orang saksi juga telah dipanggil bagi membantu siasatan oleh JAIS manakala penganjur program yang kini sedang dalam proses untuk diambil keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sinar Lestari YAPEIM di Penaga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im memaklumkan siasatan program eHATI dilakukan membabitkan dua aspek perundangan iaitu di bawah Kanun Keseksaan dan juga Enakmen Jenayah Syariah.
“Ya, ada dua siasatan dilakukan..satu kesalahan di bawah Penal Code (Kanun Keseksaan) satu lagi kesalahan di bawah Salah Jenayah Syariah.
“Siasatan yang dilakukan polis, yang itu kita serah kepada pihak polis sekarang kita tunggu laporan lengkap daripada JAIS,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Media semalam melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pihaknya memberi kebenaran kepada Syarikat eHati International Sdn Bhd bagi meneruskan program motivasi eHATI.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada 15 November 2022, Panel Sesi Penjelasan yang dilantik oleh JAIS mendapatkan penjelasan daripada penganjur program eHati susulan aduan yang diterima daripada peserta program itu.
Sementara itu, polis sudah mengambil keterangan daripada 90 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata individu berkenaan membabitkan fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette















