MELAKA – Pasangan kekasih dipercayai pengedar dadah yang melarikan diri sejauh 13 kilometer ketika dikejar polis petang semalam direman enam hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun dan wanita, 28, tahun dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.
Terdahulu MalaysiaGazette hari ini melaporkan pasangan warga tempatan itu ditahan di Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai selepas melarikan diri ketika dikejar polis bermula di Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan, pukul 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, aksi mengejar suspek yang menaiki Perodua Myvi oleh lima peronda MPV polis turut mengakibatkan seorang anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera dilanggar suspek.
“Kejadian bermula pada pukul 6 petang ketika anggota URB berkenaan mengejar Perodua Myvi terbabit selepas suspek melarikan diri dari Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan.
“Suspek terus memecut dan memandu secara melulu dan tidak berhenti di lampu isyarat merah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebaik tiba di Jalan Teruna 1 Taman Bukit Rambai, suspek telah mengundurkan keretanya dan melanggar URB ditunggang anggota berpangkat lans koperal mengakibatkannya cedera ringan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek lelaki dan wanita masing-masing beralamat di Taman Anika dan Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru kemudian menjumpai dua peket lutsinar disyaki dadah jenis heroin dan alat penimbang dalam kenderaan suspek.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua mendapati positif dadah jenis syabu atau methamphetamine -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















