MELAKA – Pasangan dipercayai kekasih yang berjaya diberkas polis selepas mengejarnya sejauh 13 kilometer petang semalam dipercayai tokan dadah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek warga tempatan masing-masing lelaki dan wanita berusia 26 dan 28 tahun ditahan di Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai selepas kejadian bermula di Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan pada jam 6 petang.
Menurutnya, aksi mengejar suspek yang menaiki Perodua Myvi turut mengakibatkan seorang anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera dilanggar suspek.
“Kejadian bermula pada 6 petang ketika anggota URB berkenaan mengejar Perodua Myvi terbabit selepas suspek melarikan diri dari Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan.
“Suspek terus memecut dan memandu secara melulu dan tidak berhenti di lampu isyarat merah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Sebaik tiba di Jalan Teruna 1 Taman Bukit Rambai, suspek telah mengundurkan keretanya dan melanggar URB ditunggang anggota berpangkat lans koperal mengakibatkannya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kedua-dua suspek lelaki dan wanita masing-masing beralamat di Taman Anika dan Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru kemudian berjaya ditahan dibantu lima unit MPV polis.
“Pemeriksaan lanjut juga telah menjumpai dua peket lutsinar disyaki dadah jenis heroin dan alat penimbang dalam kenderaan suspek.
“Kedua-dua suspek dibawa ke ke Balai Polis Tengkera untuk tindakan lanjut dan akan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi ini.” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















