BUTTERWORTH – Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) disambut dengan rasa lega oleh penduduk Pulau Pinang yang menjadikan lebuh raya itu sebagai laluan utama harian dan hujung minggu.
Ramai pengguna menyifatkan langkah tersebut sebagai tepat pada masanya kerana ia membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Seorang penduduk Teluk Ayer Tawar, Noor Azam Shafie, 42, berkata, beliau menggunakan LLB hampir setiap minggu untuk beriadah bersama keluarga di kawasan Pantai Bersih.
“Setiap hujung minggu saya akan lalu LLB ke Pantai Bersih. Bila tol tak naik, memang rasa lega sebab walaupun bukan laluan harian, saya tetap guna secara konsisten,” katanya.

Sementara itu, Fatin Fazlina Yaakob, 33, berpendapat, LLB menjadi laluan alternatif untuk mengelak kesesakan di Plaza Tol Sungai Dua.
“Saya guna LLB hampir setiap hari. Walaupun tol RM1.50, ia berbaloi sebab saya dapat elak kesesakan yang teruk di Sungai Dua. Bila kerajaan tangguh kenaikan, itu keputusan yang sangat melegakan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Seberang Jaya, Nurul Izzaty Roseman, 32, pula berkata, penangguhan itu menunjukkan kerajaan memahami beban yang ditanggung rakyat.

“Tak semua orang guna lebuh raya semata-mata untuk selesa. Ramai guna sebab perlu, jadi kalau tol naik walaupun sedikit, tetap terasa.
“Bila kerajaan tangguh, itu satu langkah yang patut dipuji,” katanya.
Seorang penghantar barang dari Bukit Mertajam, Chong Wei Lun, 39, berkata, beliau menggunakan lebuh raya itu berkali-kali dalam sehari.
“LLB adalah laluan paling cepat dan tidak sesak. Kalau tol naik, memang saya yang kerja atas jalan ni paling rasa dulu. Bila kekal RM1.50, sekurang-kurangnya kos kerja saya stabil,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya termasuk LLB yang sepatutnya dinaikkan tahun ini mengikut perjanjian konsesi asal.
Katanya, penangguhan itu akan melibatkan implikasi kewangan lebih RM500 juta yang ditanggung kerajaan bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada.
Selain LLB, lebuh raya lain yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX). – MalaysiaGazette















