KUALA LUMPUR – Pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan itu mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Madani dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club-BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, inisiatif-inisiatif tambahan itu berupaya meredakan kos sara hidup dan menyediakan ruang perbelanjaan lebih selesa khususnya kepada golongan B40 dan M40.
“BBC menyambut baik pengumuman Penghargaan buat Rakyat Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
“Inisiatif-inisiatif seperti ‘SARA untuk SEMUA’ iaitu pemberian RM100 secara one-off menerusi MyKad, pengekalan harga tol, memperbanyak Jualan Rahmah MADANI serta penurunan harga RON95 kepada RM1.99 boleh meredakan kos sara hidup rakyat.
“Pengumuman ini turut memperlihatkan kepekaan Kerajaan terhadap realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Paya Besar pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
BBC juga berkata, langkah proaktif dan pantas ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat serta berusaha mencari penyelesaian yang tuntas demi kesejahteraan bersama.
“Usaha ini selaras dengan kerangka Ekonomi Madani dengan menaikkan paras siling dan lantai serta segala usaha keras Kerajaan Madani dalam menarik pelaburan ke dalam negara kini diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, BBC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan dan dokongan padu kepada Kerajaan Madani demi memastikan Malaysia terus maju dan sejahtera.
“BBC percaya segala inisiatif yang diumumkan ini akan memberi manfaat nyata kepada seluruh rakyat Malaysia, mengurangkan beban kos sara hidup.
“Dalam masa sama turut memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















