KLUANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap sembilan ekor gajah liar di daerah ini menerusi Operasi Bersepadu Translokasi Gajah sejak 14 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, lapan gajah ditangkap di kawasan hutan sekitar Kampung Seri Lukut dan Kampung Pinggir, Kahang manakala seekor lagi di Kampung Pinggir.
“Daripada jumlah tersebut, tiga ekor gajah jantan dewasa, empat ekor gajah betina dewasa dan dua ekor lagi merupakan anak gajah betina.
“Setiap ekor gajah ini membawa bersama-sama amanah besar yang perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 14 Julai lalu Perhilitan Johor memaklumkan akan melaksana operasi tersebut secara besar-besaran membabitkan 25 gajah bermula bulan ini hingga Julai tahun depan.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah strategik itu bagi menangani isu konflik gajah dan manusia secara menyeluruh dan berkesan, dengan Johor menjadi negeri pertama lokasi operasi berkenaan.
“Selain itu, ia bertujuan memulihkan ekosistem melalui kawalan populasi di luar habitat asal dan pengumpulan data saintifik untuk penambahbaikan dasar pengurusan gajah liar,” ujar Abdul Kadir.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, proses translokasi bukanlah tugas mudah dan menuntut tahap kesabaran yang tinggi, perancangan rapi serta strategi pelaksanaan amat teliti.
Jelasnya, gajah-gajah itu perlu ditenangkan menggunakan kaedah khas, suhu badan mamalia tersebut perlu dipantau dengan cermat dan emosi mereka perlu dikawal bagi mengelak tekanan.
Beliau berkata, jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan kepada haiwan berkenaan mahupun petugas Perhilitan.
“Ini bukan sekadar pemindahan haiwan. Ia adalah satu usaha besar menyelamatkan warisan negara yang tidak ternilai.
“Ini adalah simbol tanggungjawab bersama-sama dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam terus terjaga,” katanya.
Beliau memberitahu, operasi pemindahan gajah-gajah tersebut bermula pukul 8 pagi semalam selepas ditenangkan sebelum ditarik naik ke atas lori.
Gajah berkenaan, katanya, ditarik seekor demi seekor dengan penuh berhati-hati dan sistematik dengan setiap ekor mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk dipindahkan sepenuhnya ke dalam lori.
“Proses ini berjalan lancar dan selesai sekitar pukul 1 tengah hari. Selesai proses pemindahan, pasukan operasi terus melaksanakan persiapan terakhir untuk memulakan perjalanan ke lokasi pelepasan.
“Gajah-gajah ini kemudian dibawa melalui jalan darat diiringi aset-aset Perhilitan menuju ke Taman Negara, destinasi pelepasan yang dikenal pasti sebagai habitat baharu yang lebih selamat dan sesuai untuk kelangsungan hidup haiwan berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















