KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu sindiket pelaburan forex tidak wujud yang dipercayai berpangkalan di Indonesia melibatkan kerugian keseluruhan mencecah RM6 juta setakat ini.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima 39 aduan daripada pelabur yang mendakwa ditipu melalui skim tersebut didakwa telah didalangi sebuah syarikat asing dengan bantuan broker tempatan di sini.
“Skim ini dipercayai telah memperdaya kira-kira 400 pelabur di Malaysia. Kebanyakan mangsa mengalami kerugian antara RM100,000 hingga RM500,000 seorang,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Menurut Hishamuddin, sindiket itu menggunakan taktik licik termasuk menunjukkan dokumen pelaburan dari Indonesia, mendakwa memiliki lesen sah selain membawa pelabur melawat pejabat syarikat di Jakarta bagi meyakinkan mereka.
“Lebih membimbangkan, seorang warga Rusia dikenal pasti aktif mempromosikan skim ini di negara kita termasuk menganjurkan kelas pelaburan. Transaksi kewangan pula diuruskan oleh syarikat broker tempatan,” ujarnya.
Hishamuddin turut mendedahkan terdapat bank di negara ini disyaki menjadi saluran pemindahan wang ke luar negara bagi skim pelaburan tersebut justeru siasatan terhadap peranan institusi kewangan tempatan juga perlu diberi perhatian.
“Modus operandi ini sangatlah membimbangkan lagi-lagi dengan penglibatan ‘pelbagai pihak’. Kita desak agar siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua yang terlibat.
“Ini termasuk ejen tempatan yang perlu diheret ke muka pengadilan. Penipuan berskala besar seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa,” tegasnya.
Difahamkan kesemua mangsa yang terlibat telah membuat laporan polis dan berharap tindakan segera diambil bagi membela nasib pelabur serta mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa seterusnya. – MalaysiaGazette
















