KUALA LUMPUR – Serbuan yang dilakukan polis terhadap program perjumpaan tertutup golongan gay di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tujuan utama polis adalah menjaga ketenteraman awam dan nilai moral masyarakat.
Menurut beliau, hasil risikan polis mendidapati jemputan program perjumpaan tersebut tidak menyatakan sebarang penglibatan atau penganjuran daripada badan bukan kerajaan (NGO), Klinik Kesihatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapati tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program itu mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti.
“Pada hari kejadian, Pasukan Task Force telah memantau di kediaman tersebut sejak pukul 5.00 petang dan pada sekitar jam 8.00 malam didapati kehadiran telah meningkat seramai lebih kurang 100 orang dikesan hadir di lokasi tersebut dengan aktiviti makan dan sembang-sembang santai.
“Dalam sekitar jam 11.00 malam, didapati majoriti pengunjung telah meninggalkan lokasi terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hasil risikan dan temubual awam yang dijalankan oleh Pasukan
Task Force PDRM Kelantan mendapati jemputan ke program ini datang melalui WhatsApp.
Sebelum ini, media melaporkan polis Kelantan menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.
Bagaimanapun semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan bahawa program itu yang didakwa mempunyai kaitan agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual (LGBTQ) merupakan program kesedaran kesihatan melibatkan Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di platform X yang mengesahkan perkara itu turut berkongsi kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menyatakan aktiviti berkenaan dijalankan oleh Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat) yang beroperasi di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
Menurut Mohd Yusoff, pasukan serbuan telah mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya menjalankan tindakan kira-kira jam 1 pagi bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko kepada keselamatan awam.
Tambah beliau, semasa serbuan dilakukan, pihaknya mendapati seramai 20 orang lelaki berada di premis berkenaan dan mereka mengaku merupakan komuniti gay.
Malah, jelasnya, pihaknya mendapati tiada wakil dari pegawai NGO, atau wakil mana-mana agensi kesihatan kerajaan hadir termasuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mohd Yusoff berkata, hasil dokumentasi yang dijalankan ke atas 20 orang ini didapati 18 orang berasal dari Kelantan, Perak (1), dan Besut, Terengganu (1) yang merupakan pelajar di Institut Pengajian Tinggi di Kelantan.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit kesemua mereka mendapati tiga daripadanya memiliki video lucah melibatkan hubungan sesama jenis.
Malah, jelas beliau, sebahagian daripada mereka juga mengaku pernah melibatkan diri dalam aktiviti seks sejenis.
“Ketiga-tiga lelaki yang memiliki bahan lucah tersebut telah dituduh di bawah seksyen 292 kanun keseksaan dan telah mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak RM 3,000 hingga RM 4,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 20 Julai 2025.
“Serbuan tersebut juga pihak Task Force telah menemui beratus kondom dan beberapa kotak ubat HIV didalam bilik premis terbabit.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya berharap penjelasan yang diberikan ini dapat menepis kekeliruan serta spekulasi yang tular.
Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa demi keharmonian negeri ini. – MalaysiaGazette
















