Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia penyedia perkhidmatan yang sebelum ini beroperasi tanpa pemantauan langsung, seperti syarikat pajakan, pemfaktoran, agensi kutipan hutang, dan penyedia pembiayaan digital bukan bank.

Selain memperkemas kawal selia, SKP akan turut memudahkan pemindahan fungsi pengawalseliaan daripada pelbagai kementerian dan agensi di bawah satu bumbung, menjadikan pengawasan industri kredit lebih seragam dan efisien.

Kementerian Kewangan berkata, SKP merupakan inisiatif daripada Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang diperkenalkan sebagai satu pendekatan menyeluruh untuk melindungi rakyat Malaysia daripada risiko kewangan akibat penggunaan kredit yang tidak terkawal dan amalan pinjaman yang tidak beretika.

RUUKP merupakan inisiatif penting kerajaan ke arah mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih selamat, profesional dan inklusif.

Ia bukan sekadar rang undang-undang, tetapi refleksi komitmen jangka panjang negara dalam memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada amalan kredit yang menindas.

“Dengan pelaksanaan berfasa yang dirancang rapi, RUUKP dijangka memberi kesan besar terhadap landskap kewangan negara – menjadikan perlindungan pengguna sebagai keutamaan utama dalam setiap transaksi kredit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, dalam era kewangan digital yang semakin pesat, pengguna kini berdepan pelbagai tawaran kredit daripada pinjaman segera hingga ke skim Buy Now Pay Later (BNPL) yang sering kali datang bersama risiko tersembunyi seperti caj berlebihan, hutang melampau dan penipuan kewangan.

Oleh itu, RUUKP bertujuan membina sistem kawal selia yang mampu menangani cabaran-cabaran ini dengan lebih berkesan.

“RUUKP akan menjadi akta utama yang mengawal selia semua bentuk perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan. Ia akan memastikan perlakuan yang adil oleh penyedia kredit, selain mewajibkan ketelusan dalam pengenaan caj serta memperkenalkan garis panduan yang profesional dalam pengurusan kutipan hutang dan penyelesaian pertikaian,” katanya.

Kementerian Kewangan menambah, melalui akta ini, pengguna yang berhadapan dengan kesulitan kewangan juga berpeluang mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat melalui saluran yang sah dan berdaftar.

“RUUKP merupakan inisiatif penting kerajaan ke arah mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih selamat, profesional dan inklusif. Ia bukan sekadar rang undang-undang, tetapi refleksi komitmen jangka panjang negara dalam memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada amalan kredit yang menindas.

“Dengan pelaksanaan berfasa yang dirancang rapi, RUUKP dijangka memberi kesan besar terhadap landskap kewangan negara – menjadikan perlindungan pengguna sebagai keutamaan utama dalam setiap transaksi kredit,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast