PUTRAJAYA – Ketua Agensi Peneraju (KAP) yang terlibat dalam pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 diseru untuk mempergiatkan usaha promosi dan publisiti atas pencapaian mengikut kesesuaian peruntukan masing-masing.
Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Idris Zaharudin berkata, ia sangat mustahak kerana memperlihatkan iltizam kerajaan dalam menambahbaik dan memperkemaskan tatakelola serta pembanterasan rasuah secara konsisten selain memberikan persepsi positif di kalangan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurutnya, langkah promosi dan publisiti mengenai kejayaan NACS telah diberi penekanan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS pada 11 November 2024 dan 10 Jun 2025.
“Seperti Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pencapaian NACS ini juga diakui akan menjadi antara faktor yang mampu menyumbang kepada kejayaan Malaysia meningkatkan reputasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang merupakan inisiatif diambil oleh Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri.
“Penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar adalah langkah positif dalam memantau dan meningkatkan skor kedudukan negara.
“Di samping, menunjukkan usaha berterusan daripada semua pihak dan bukan semata-mata di bawah SPRM, untuk memerangi rasuah secara berkesan serta memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi Kerajaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Sesi Libat Urus Secara Berasingan Bersama 19 KAP dan Bahagian Dalaman SPRM yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama BPGN di sini semalam.
Idris berkata, bagi pihak SPRM dan Ketua Pesuruhjaya SPRM ingin mengucapkan tahniah kepada sembilan KAP yang terdiri daripada SPRM sendiri yang telah berjaya menyempurnakan pelaksanaan 10 substrategi di bawah tanggungjawab masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, lima substrategi telah berjaya diselesaikan pada tahun 2024, manakala lima substrategi lagi berjaya diselesaikan sehingga 30 Jun 2025.
Pasukan Petugas Khas CPI diterajui oleh KSN akan terus memberi komitmen tertinggi dalam memperkasa usaha untuk memperkukuh tatakelola dan pencegahan rasuah secara menyeluruh melalui pendekatan keseluruhan Kerajaan (whole-of-Government approach). – MalaysiaGazette
















