Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media diiringi Timbalan Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (kanan) dan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nazirul Akhmal Samsuddin (kiri) selepas Program Taklimat Pengurusan Jenazah Covid-19 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 26 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Enam individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan disyaki terlibat dalam penganjuran program motivasi rumah tangga eHati di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kesemua yang ditahan melibatkan dua lelaki dan empat wanita berusia diantara 26 hingga 47 tahun di Shah Alam pada 18 Julai lalu selepas diambil keterangan.

“Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam).

“Ia termasuk Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, setakat ini 38 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan JAIS juga telah mengenal pasti kira-kira 282 orang peserta yang menyertai tersebut untuk diambil keterangan.

“Kita juga telah merampas sebanyak tiga buah buku dan tiga keping video cakera padat (VCD) dan telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.

“JAIS juga menjalankan siasatan menyeluruh merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan oleh pihak penganjur,” jelasnya.

Tambah beliau, sebaik kertas siasatan dilengkapkan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, peguam pengasas syarikat motivasi berkenaan, Datuk M Reza Hassan memaklumkan, anak guamnya sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada 18 Julai lalu.

Sementara itu, polis sudah mengambil keterangan daripada 90 individu bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga eHAti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, individu berkenaan membabitkan fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat berkenaan.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk ritual bertentangan dengan syarak,” katanya.

Hussein turut mengesahkan terdapat aktiviti bogel dilakukan empat indvidu ketika malam dikenali sebagai ‘queens night’ yang di anjurkan syarikat motivasi terbabit.

Pada 16 Julai lalu, pasangan suami isteri pengasas eHati, seorang anak mereka dan tiga lagi individu direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast