Sebahagian anggota Bomba terpaksa melakukan pendakian lebih 200 meter dalam operasi pemadaman api kebakaran yang berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland - Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

BATANG KALI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan hampir keseluruhan kebakaran kawasan hutan sekunder di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu yang berkeluasan 60 ekar pada hari ketiga.

MalaysiaGazette yang mengikuti operasi pemadaman itu sejak pagi tadi mendapati beberapa anggota bomba bersama polis terpaksa mendaki lebih 200 meter di atas bukit untuk mencari tompokan api yang didakwa merebak melalui rumput resam.

Pemandangan sekitar hutan sekunder yang terbakar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025
Kejadian kebakaran kira-kira 60 ekar berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali sejak semalam. Walaubagaimanapun, 80 peratus telah berjaya dipadamkan dengan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu dan Rawang.

Bukan itu sahaja, mereka turut menghadapi cabaran apabila ketiadaan sumber air berhampiran lokasi, bentuk muka bumi yang berbukit, cuaca berangin dan terpaksa membawa peralatan secara manual sejauh kira-kira dua kilometer.

Selain itu, operasi terbabit turut melibatkan Unit Udara JBPM yang digerakkan menggunakan helikopter AW189 dengan menggunakan sumber air di kawasan lombong berdekatan serta menggunakan teknologi dron thermal bagi mengesan haba panas di lokasi tersebut.

Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis (kiri) dan Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Kanan II, Mustakim Rimon (dua kiri) ketika memantau operasi pemadaman api kebakaran yang berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Kanan II, Mustakim Rimon berkata, semakan mendapati tiada lagi tompokan atau kebakaran kecil yang berpotensi berlaku semula namun pemantauan di beberapa tempat dikenal pasti akan diteruskan.

“Keseluruhan kawasan kebakaran adalah 60 ekar sehingga petang semalam masih terdapat lagi lima ekar yang masih terbakar daripada malam tadi sehingga pagi ini kita meneruskan lagi pemadaman itu.

“Alhamdulillah sehingga tadi kita telah berjaya memandangkan keseluruhannya dengan bantuan unit udara JBPM yang melakukan sebanyak lapan kali ‘dump’ air ke lokasi kejadian melibatkan 6,400 liter.

“Hasil pemantauan kita, tiada lagi spot atau kebakaran kecil yang berpotensi naik semua, namun seramai 20 anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) ditugaskan untuk memantau kawasan sekitar.

“Teknik pemadaman masih sama cuma hari ini ada penambahan anggota melibatkan 14 orang bagi mempercepatkan lagi proses dan menggunakan kaedah pengasingan bara api dari bahan yang berisiko mudah terbakar dan cuaca mendung turut membantu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis.

Sebahagian anggota Pasukan Udara Bomba memasang Bambi Bucket yang digunakan untuk teknik “water bombing” dalam operasi pemadaman api kebakaran yang berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Mengulas mengenai tercetusnya kebakaran hutan itu, Mustakim berkata, pihaknya belum dapat mengenalpasti punca  namun mungkin disebabkan beberapa faktor melibatkan alam dan manusia.

“Antaranya mungkin sebab cuaca panas dan kering yang membantu memudahkan, mungkin ada penceroboh atau individu yang hadir membuat aktiviti rekreasi mencari tumbuh-tumbahan atau membuat unggun api dan tercetus kebakaran,” jelasnya.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Kanan II, Mustakim Rimon bercakap ketika ditemubual pada operasi pemadaman api kebakaran yang berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Sehubungan itu, Mustakim menasihati orang awam supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka kerana ia mudah menyala terutama di kawasan kebun, ladang dan sebagainya.

“Namun perlu diingatkan pada semua bahawa pembakaran tidak terkawal boleh mengundang kecelakaan dan bala bencana seperti yang kita lihat pada hari ini walaupun menggunakan pemetik api bernilai RM1 namun kos pemadaman memakan belanja,” katanya.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Kanan II, Mustakim Rimon memberikan penerangan kepada sebahagian anggota Bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman api kebakaran yang berlaku di hutan sekunder berhampiran Jalan Genting Highland – Batang Kali, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Sejak kelmarin, pasukan bomba giat meneruskan operasi pemadaman kebakaran hutan simpan berhampiran Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu yang dianggarkan merebak sehingga 22.6 hektar kawasan hutan.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pukul 6.34 petang pada Selasa.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 7.12 malam namun kerja-kerja pemadaman tidak dapat dijalankan pada peringkat awal kerana tiada laluan masuk ke kawasan kebakaran, dan kebakaran pada masa itu dianggarkan seluas 3.23 hektar.

“Bagaimanapun, komander operasi berjaya mengesan laluan masuk pada pukul 10 malam dan mendapati kawasan yang terbakar sudah merebak dianggarkan seluas 20.2 hektar,” katanya dalam kenyataan semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast