Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 secara oneoff seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi mikro.

Pemerhati ekonomi, Dr. Razli Ramli berkata, bantuan tunai bersasar seperti itu membolehkan rakyat berbelanja ke atas keperluan asas seterusnya mengaktifkan perniagaan kecil dan meningkatkan peredaran wang dalam ekonomi tempatan.

Dalam masa sama, ujar Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam berkenaan, dasar subsidi bersasar lain seperti petrol RON95 dan penangguhan kenaikan kadar tol disifatkan langkah tepat dalam mengurangkan ketirisan subsidi yang sering disalah guna.

Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan dasar sosial malah menyumbang kepada tadbir urus fiskal yang lebih baik.

Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli.

“Selain itu dasar ke arah peningkatan gaji minimum dan pengenalan konsep living wage yang menjadi antara keutamaan kerajaan ketika ini juga amat wajar.

“Dasar ini berkesan dalam mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan pada masa yang sama, dapat merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelang akhir September ini.

Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah MADANI serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Razli menambah, meskipun secara dasarnya pengumuman bantuan kerajaan semalam dianggap baik dalam merangsang ekonomi rakyat, namun terdapat beberapa perkara yang tetap perlu diberi perhatian bagi mengelak risiko secara jangka masa panjang.

Antaranya, kata beliau, melibatkan pemberian one-off RM100 kepada semua lapisan rakyat dewasa termasuk golongan T20 yang disifatkan tidak efisien dan kurang memberi impak.

Sedangkan, ujarnya, bantuan tunai sebegitu adalah lebih wajar disasarkan kepada hanya golongan B40 dan M40 memandangkan terdapat kajian ekonomi sebelum ini yang membuktikan bantuan bersifat universal kurang berkesan berbanding pendekatan bersasar.

Selain itu, tambahnya, keputusan menanggung kos RM500 juta susulan tidak menaikkan kadar tol tahun ini juga walaupun menggembirakan rakyat, namun akan menyebabkan kerajaan menanggung bebas fiskal tambahan dalam jangka masa panjang.

“Pemberian subsidi petrol RON95 juga perlu diuruskan secara berhati-hati kerana walaupun membantu rakyat dalam jangka pendek, tetapi pemberian subsidi bahan api yang berterusan boleh mencetuskan ‘ketagihan subsidi’ dalam kalangan rakyat dan memberi tekanan besar terhadap bajet negara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Razli, walaupun pengumuman Anwar semalam adalah baik dalam membantu meringankan beban rakyat dan menstabilkan ekonomi pasca pandemik Covid-19, namun negara memerlukan reformasi yang lebih menyeluruh dan lestari secara jangka masa panjang.

“Subsidi perlu ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, fiskal negara perlu dikawal rapi dan dasar pembangunan ekonomi mesti berpaksikan produktiviti, bukan semata-mata bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast